HERO Kewangan Anda

HERO Kewangan Anda | Berapa banyak sebenarnya yang saya perlu simpan setiap bulan? Kalau simpan saja, bila masa saya mahu keluarkan? Pasaran turun naik tapi awak masih kata saya perlu simpan?


Soalan-soalan di atas biasa saya terima dari klien-klien saya. Jadi entri kali ini bakal menjawab soalan-soalan tersebut. Dan soalan-soalan yang lebih tepat mengikut aturan adalah:

Mengapa saya menyimpan / melabur?

Bagaimana saya boleh menyimpan / melabur?

Berapa saya perlu simpan / labur setiap bulan?

Mengapa saya perlu menyimpan?

Duit simpanan itu kunci keselamatan masa depan. Masa depan itu bila? Duit kita, kitalah yang set targetnya. Ada simpanan jangka pendek, simpanan jangka sederhana, dan pelaburan jangka masa panjang.


Contoh simpanan jangka pendek termasuklah sinking fund untuk perbelanjaan tahunan (duit sekolah anak, cukai jalan kenderaan, cukai pintu, dana servis kereta dan sebagainya), dana percutian, dana kahwin dan lain-lain simpanan yang dikumpul untuk digunakan dalam masa dua ke tiga tahun.


Simpanan jangka masa sederhana pula adalah peruntukkan untuk target perbelanjaan yang lebih besar dan memakan masa dalam empat ke 10 tahun. Contohnya, duit muka kereta baru, rumah dan hartanah, pergi haji dan banyak lagi.


Untuk target yang memakan masa lebih dari 10 tahun, eloklah wang anda disisihkan dalam akaun pelaburan, bukan simpanan. Contoh target kewangan jangka panjang: dana pendidikan anak, dana tunaikan haji, dana persaraan dan dana legasi untuk diwariskan pada anak-anak.


Contoh-contoh target kewangan jangka sederhana dan jangka panjang.


Bagaimana Cara Menyimpan?

Setiap instrumen simpanan atau pelaburan memberikan jumlah pulangan yang berbeza. Perhatikan pulangan setiap instrumen yang anda gunakan dan bandingkan dengan jadual di bawah.


2% 4% 6% 8%

5 tahun RM32,328 33,714 35,160 36,668

10 tahun 66,917 73,516 80,875 89,078

20 tahun 147,270 180,859 223,920 279,232

30 tahun 245,219 339,753 480,092 689,761

Akaun simpanan RM1000 ditambah simpanan bulanan RM500 mengikut % pulangan dan jumlah tahun menyimpan tanpa diusik.

Simpanan RM500 sebulan dalam akaun berbeza tak beri beza besar pada beberapa tahun pertama. Namun, perhatikan bila usia simpanan mencecah 10 tahun, beza pulangan ditambah dengan wang pokok simpanan itu jauh sekali. Sebab itu perlu sesuaikan matlamat kewangan dengan pulangan dan risiko instrumen simpanan yang anda gunakan.


Berapa saya perlu simpan sebulan?

Kembalikan soalan ini kepada soalan yang pertama tadi – apa target anda?


Target Amaun Tahun Inflasi 3% Instrumen Bulanan

Akaun Simpanan Bersara (ASB) 1 juta 30 2.4 juta 10% 1,229

Haji 20k 15 31k 10% 82

Rumah 10k 5 11k 6% 171

Jumlah 1482

Amad, seorang jejaka bujang menetapkan target simpanan seperti di atas.

Perhatikan bahawa Amad meletakkan target jangka sederhana iaitu Rumah ada instrumen yang lebih rendah % pulangannya, supaya risiko yang ditanggung juga lebih rendah. Secara kasarnya, untuk masa depan yang cukup dan tenang, Amad perlu menyimpan RM1482 sebulan.


Target Amaun Tahun Inflasi 3% Instrumen Bulanan

Akaun Simpanan Bersara (ASB) 1 juta 35 2.8 juta 10% 865

Haji 20k 20 36k 10% 53

Rumah 10k 10 13k 6% 85

Jumlah 1003

Amin, seorang jejaka bujang yang mula menyimpan 5 tahun lebih awal dari Amad.

Amin yang membuatkan keputusan bijak dengan bermula 5 tahun lebih awal dari Amad dapat mencapai matlamat yang sama dengan kos yang lebih rendah.


Kesimpulannya

Siapa HERO Kewangan Anda? Itulah ‘House down payment’, ‘Education planning’, ‘Retirement fund’ dan ‘Others – Haji, Travel fund dan lain-lain’. Anda boleh jadi HERO Kewangan Anda dengan cara:

1. Tetapkan matlamat-matlamat kewangan anda. Kembangkan dari asas HERO, masukkan pelbagai target anda ikut kesesuaian.

2. Nilaikan RM bulanan yang perlu disimpan. Sesuaikan dengan pendapatan dan gaya hidup anda.

3. Disiplin! Perancangan kewangan sebenarnya asas yang sangat mudah. Yang mencabar adalah pelaksanaan dengan penuh disiplin dan semangat yang wajar serta jati diri yang jitu lagi padu. Hah!

Dan ingat! Dapatkan nasihat konsultan yang bertauliah. Semoga berjaya.

Afzani Tual (Ajan)

I take notes of happenings in my life in hope as a piece of my life betters, so does yours.

Post a Comment

Komen anda tertakluk bawah akta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia.

Previous Post Next Post