Aneh atau Unik?

Masa sekolah rendah dulu, aku selalu kena ejek sebab nama abah unik. Nama abah Tual bin Abdul Razak. Orang kata, nama abah lain sebab kami orang Jawa. Tapi aku terfikir, 'Atuk pun Jawa, tapi Abdul Razak nama yang biasa.' Abah pernah bercerita yang nama itu diberi sebab Abah lahir pada hari Sabtu dalam bulan Syawal. Bila digabungkan sukukata kedua 'tu' dan 'wal', jadilah Tual. Unik sungguh cara orang lama berfikir. Kreatif dalam memberi nama anak.

Macam-macam budak-budak ejek dulu. Tuala. Setual kayu. Pernah juga ada manusia tulis surat konon-konon nak jadi abang angkat masa sekolah dulu, tapi sebenarnya nak ejek aku saja. Cis! Nasib baik aku tak berjaya cari siapa dia.

.
.
.

Orang akan panggil kes-kes ini buli. Dulu aku menangis dan marah. Reaksi biasa. Tapi akhirnya bila sekolah menengah, aku dah lali. Aku membesar menjadi orang yang berani bersuara dan ke depan sebagai pemimpin pelajar. Sekarang, kalau ada orang nak mengusik atau ejek, selalunya aku jawabkan.

Masih banyak hal yang membuatkan aku aneh di mata ramai orang. Tapi ada kawan yang kata, "Kau ini uniklah." Aku ucap terima kasih sebab orang yang sayang aku je kata aku unik, bukan aneh. Sama macam orang puji perempuan comel, sebab tak nak puji cantik. Kah kah.

Contohnya, perkara 'aneh' orang komen pada aku termasuklah 'wanita 30-an belum kahwin', kerjaya yang aku pilih, cara aku makan, dan selalu pakai baju kurung.

.
.
.

Apa yang berbeza dulu dan sekarang? Ringkas - cara aku pandang diri sendiri sudah berubah. Bila aku sendiri pandang positif pada situasi aku, aku boleh kawal reaksi aku pada cakap-cakap orang.

Dulu bila orang-orang tua tanya kenapa belum kahwin, aku rasa kecewa. Sekarang aku lawak-lawakkan saja. Selalulnya makcik-pakcik yang tanya akan gelak. Hati pun ceria. Kalau serius mahu tolong, perbualan itu akan ke situ juga.

Kerjaya yang aku pilih ini memerlukan kerja keras yang aku belum mampu capai. Orang-orang yang aku sayang haruslah risau bila aku tak berkembang pesat dalam bisnes. Namun, aku dah lama sedar, aku sendiri perlu sabar dengan diri sendiri sebelum orang-orang kesayangan  aku sabar dengan aku. Aku sendiri perlu terima kelemahan aku dan menguruskannya sebelum orang di sekeliling terima diri aku seadanya.

.
.
.

Aku buat keputusan, bila aku jumpa anak muda yang mengadu dibuli, bukan saja si pembuli perlu disekolahkan, malah si kena buli juga perlu diajar mempertahankan diri. Jangan jadi macam watak-watak utama sinetron Indonesia pukul 3 tu. Mesti kena jawab dan tegakkan yang betul.

Kalau apa yang si pembuli cakap tu salah, bantah. Kalau apa yang si pembuli cakap tu betul, cuma cara menegur tu salah, ubah diri kita dan tegur cara si pembuli itu.

We are not what happen to us, but how we react to that.
 Berbanggalah dengan diri sendiri. Terimalah dan uruslah kekurangan diri. Orang akan sayang kita sesuai kita sayangi diri kita.

.
.
.

Sekarang saya bangga dengan nama arwah Abah. Sebab nama itu bukan aneh, tapi unik. Unik membuatkan saya menonjol.


Afzani Tual (Ajan)

I take notes of happenings in my life in hope as a piece of my life betters, so does yours.

Post a Comment

Komen anda tertakluk bawah akta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia.

Previous Post Next Post