15 Syawal. Bulan sangat cantik malam ni. Serigala dalam hati ni tak berhenti melolong bahagia, eh!
Hari ini genaplah 4 bulan 10 hari sejak abah pergi. Tak rindu. Abah dah rehat. Doakan selalu.
اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه
Tiga hari sebelum raya, ziarah kubur abah. Bersihkan. Kemaskan susunan batu. Tanam pokok ros Jepun. Terima kasih kepada hamba Allah yang letakkan batu, tambakkan tanah dan tanamkan pokok puding. Entah siapa.
Sedang saya dan emak sibuk, ada seorang pakcik datang mendekati. Kami sudah nampak dia dari kejauhan waktu turun kereta tadi. Dia banyak berbual dengan emak. Saya sesekali menjawab bila ditanya.
Rupa-rupanya, pakcik kenal arwah abah. Satu tempat kerja dulu. Cuma dia tak kenal emak. Emak pun tak kenal dia.
.
.
.
Kubur arwah isterinya selang beberapa petak dari kubur abah. Meninggal dunia bulan Mei. Sakit-sakit badan lepas subuh. Pakcik urut-urut. Perginya pagi itu juga. Mudahnya, masyaAllah.
Pakcik datang ke kubur dua kali sehari. SubhanAllah. Hebatnya cinta!
.
.
.
Ingat tak baru-baru ini viral pemuda Bandar Tenggara yang meninggal kemalangan di Jemaluang dalam perjalanan pulang hantar tunangnya ke Endau? Kuburnya sebelah kubur abah, beritahu pakcik. Kata Pakcik lagi, tunangnya datang hampir setiap hari. Hebatnya rindu!
.
.
.
Sebelum kami balik, pakcik tawarkan diri siramkan pokok yang kami baru tanam. Alang-alang dia datang petang nanti. Mak tolak. Tapi dia beria mahu tolong. Terima kasih, pakcik.
.
====================================
.
Saya percaya yang doa boleh sampai kepada Allah dari mana-mana pun. Juga cinta dan rindu tak semestinya dilepaskan di pusara. Tapi pagi itu saya belajar satu perkara penting.
"Qadha dan qadar itu di tangan Allah jua."
Betapa dalam pun cinta, kalau tertulis di Luh Mahfuz tidak berjodoh, ajal dulu datang menjemput.
Betapa bahagia dan panjang pun berjodoh, ajal pasti hadir, patah jua hati.
Lumrah manusia punya hati dan perasaan. Yang penting, setiap itu disandarkan pada cinta pada Yang Maha Pencipta. Barulah manis cinta itu nanti bersambung ke syurga.
.
.
.
Pagi itu, aku sedar, apalah sangat ujian aku belum bertemu jodoh berbanding dua orang manusia yang sedang patah seribu hatinya itu. Semoga Allah ubat hati-hati itu.
.
.
.
Nur Afzani Tual
Percaya cinta Allah yang dirgahayu
#ajanStorytelling