Tertutup Satu Pintu Syurgaku


Rasulullah saw bersabda, "Sesiapa yang taat kepada Allah dengan melayani kedua ibu bapanya, maka terbukalah dua pintu syurga untuknya."
(hadits direkodkan oleh Ibn Asakir daripada Ibn Abbas)
.
.
Dengan pemergian abah semalam, tertutuplah satu pintu syurgaku. Terhentilah peluang aku untuk berbuat baik kepada abah.
.
.
.
Aku sedih atas kehilangan ini. Tapi aku tak terkilan.
Akulah anak yang bertuah itu. Malam terakhirnya abah bersamaku. Jadi akulah yang terakhir suapkan abah minum, lapkan mulut abah, bersihkan badan abah dan bercakap dengan abah. Aku jugalah yang genggam tangan abah, usapkan ubun-ubunnya dan bertahlil dengannya sewaktu nafas terakhirnya dihembus. Aku ikut mandikan jenazah abah. Sungguh, aku bertuah!
Emak yang sentiasa jaga abah. Adik yang selalu salinkan abah di rumah. Tapi Allah bagi aku peluang terakhir itu. Rasa tak layak. Sungguh bersyukur.
.
.
.
Petang itu abah dapat pindah wad kelas 1. Kami sekeluarga ada semua sebab doktor panggil untuk taklimat. Emak dan adik-adik balik lepas siap salinkan dan selesakan abah.
.
.
Surah terakhir kami, Surah al-Mulk sebelum tidur.
Perbualan terakhir aku. "Abah, kenapa air liurnya meleleh? Abah penat sangat ya?"
Makanan terakhir abah, air susu. Aku suap guna picagari sebab abah tak mahu makan.
Zikir terakhir kami, tahlil.
Dahi abah bau bedak Al-Aisyah. Rambut abah bau minyak kelapa. Wangi.
.
.
.
Subuh itu, usai lap dan salin abah, aku pergi solat. Sempat aku panggil, "Abah." Dia pandang mata aku. "Akak pergi solat ya." Dia kelipkan mata.
Aku solat. Aku mengaji. Balik ke bilik.
Aku lap air liurnya dan tegakkan kepalanya. "Abah, kenapa air liurnya meleleh? Abah penat sangat ya?"
Nafas abah sangat lemah. Tiada wap di topeng oksigen macam selalu. Aku pegang tangan abah sambil usap ubun-ubunnya, macam Emak selalu buat.
Abah bernafas sekali. Jeda. Abah tarik nafas lagi dan hembus, persis macam budak baru berhenti menangis. Berhenti... Mata terkatup rapat.
Aku panik dan lari panggil jururawat. Doktor pun datang. Sah abah dah pergi menyahut panggilan Allah.
.
.
.
Agaknya abah dah tahu. Dia tak mahu makan sejak dua hari sebelumnya, jadi mudah semasa mandi jenazah. Dia angkat tangan dan genggam tangan Emak pada petang sebelum Emak balik, padahal tak larat gerakkan tangan, agaknya ucapkan selamat tinggal pada cinta hatinya.
.
.
.
Mudah. Semuanya mudah. Hari Isnin. Perginya ringan. Mandinya mudah. Solat jenazahnya 7 saf. Penguburannya lekas. Manusia yang kenal dan tak kenal datang bantu - keluarga, jiran, orang katil sebelah. Bagi tenaga, bagi wang, bagi info. Terima kasih, semua.
.
.
.
Abah sudah berehat.
Aku dulu minta Allah sembuhkan abah, tamatkan penderitaannya & gugurkan dosa-dosanya atas kesakitan ini. Allah sudah makbulkan.
Aku akan terus mendoakan kebahagiannya di alam sana.
Ya Allah, terimalah doaku sebagai doa anak yang solehah.
اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه
.
.



Tamatlah sudah
#diaripenemanabah
Afzani Tual (Ajan)

I take notes of happenings in my life in hope as a piece of my life betters, so does yours.

Post a Comment

Komen anda tertakluk bawah akta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia.

Previous Post Next Post