Nota Perkahwinan: Aku Berbahagia

Aku menulis ini kerana ramai orang bertanya, "Engkau bila lagi?" Selalunya aku hanya tersenyum sambil mengangkat-angkat kening. Kepada orang-orang tua, saudara-maraku, selalu aku jawab, "Ha! Esok saya fikir" lalu mereka gelak dengan gaya selorohku.

Ingin sekali aku katakan pada mereka, "Terima kasih kerana memikirkan masa depanku. Namun, usah risau. Aku sedang berbahagia." Aku berbahagia. Aku berbahagia mempunyai keluarga yang penyayang. Aku gembira rakan-rakanku dikurniakan rezeki anak-anak. Aku doakan suami-suami rakanku membahagiakan mereka juga.

Aku berbahagia kerana aku percaya jodoh, seperti rezeki, sudah tertulis di Luh Mahfudz sejak sekian lama, lama sebelum aku dilahirkan, lam sebelum manusia dilahirkan. Usaha tetap usaha. Namun yang lebih penting adalah berbahagia dengan apa sahaja yang lahir daripada usaha itu. Aku percaya inilah rasa tawakkal dan pergantungan pada Allah yang sebenar.

Satu kisah yang aku baca dari satu laman sesawang. Seorang budak baru kehilangan anjingnya yang dimatikan dengan suntikan kerana sakit kronik. Dia terdengar ibu bapanya dan doktor haiwan itu berbincang, 'Kenapa agaknya anjing hidup sekejap sedangkan ia peneman setia manusia?' Anak kecil itu menyampuk, "Saya tahu sebabnya. Semua makhluk dihidupkan untuk belajar mencintai dan dicintai kan? Manusia perlu belajar untuk mencintai dan dicintai. Tapi anjing sudah mempunyai naluri itu sejak dilahirkan. Maka mereka tak perlu belajar untuk jadi pencinta terbaik. Maka mereka perlu hidup yang pendek saja." Terdiam doktor haiwan dan ibu bapa itu mendengar kata-kata si anak kecil itu.

Dulu aku yang mentah juga selalu memandang aneh orang-orang yang tidak berkahwin. Sekarang aku merasakan, mungkin akhir hidup dalam keadaan bujang itulah yang terbaik untuk mereka. Manakala orang-orang yang berkahwin itu Allah sudah tetapkan pahala mereka paling banyak dikaut dalam perkahwinan itu. Mana kita tahu?

Walau bagaimanapun, perkahwinan itu satu bahagian dari sunnah Rasulullah saw yang dicintai. Keinginan untuk kahwin tetap ada. Usaha tetap perlu berjalan. Aku terus bersangka baik dengan Allah yang Maha Kaya. Kerana ini, aku terus berbahagia.


Afzani Tual (Ajan)

I take notes of happenings in my life in hope as a piece of my life betters, so does yours.

1 Comments

Komen anda tertakluk bawah akta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia.

  1. insya'Allah ameen....sentiasa mendoakan yang terbaik untuk sahabat2 semuanya...

    ReplyDelete
Previous Post Next Post